Perez raih gelaran pertama Golf Klasik CIMB

Oleh Penulis Jemputan 15 Oktober 2017 51
Perez raih gelaran pertama Golf Klasik CIMB
Pemain golf Amerika Syarikat, Pat Perez, mempamerkan aksi konsisten untuk julung kalinya menjuarai Kejohanan Golf Klasik CIMB selepas menamatkan saingan dengan catatan 24 bawah par 264 di TPC Kuala Lumpur, hari ini.

Aksi tidak mengecewakan daripada Perez sepanjang empat hari membolehkannya menerima hadiah wang tunai sebanyak USD1.26 juta.

Dia yang memulakan aksi di lubang pertama konsisten melakukan tiga birdie sebelum mendapat bogey pada lubang keenam. 

Bagaimanapun, tiada sebarang birdie yang berjaya dicatat pada sembilan lubang terakhir selepas selesa berada di depan untuknya mengakhiri kejohanan dengan gelaran juara.

Secara keseluruhan, Perez yang beraksi untuk kali kelima dalam kejohanan ini, melakukan 264 pukulan, 24 di bawah par, di mana ia adalah catatan terbaik kejohanan.

"Secara keseluruhan, saya beraksi biasa. Bagaimanapun, pukulan pendek saya luar biasa. Saya hanya mengambil kelebihan itu untuk menjuarai kejohanan ini. Jika tidak, saya mungkin berada dalam kelompok 40 ke atas," katanya. 

Sementara itu, Gavin Kyle Green, pula menamatkan saingan dengan aksi yang kurang menyengat berbanding pada pusingan ketiga apabila berada di kedudukan ke-61 selepas mencatat tiga di atas par 75.

Bagaimanapun, pemain berusia 24 tahun itu kekal menjadi pemain terbaik negara, di mana Danny Chia selaku pemain terbaik kedua berada di kedudukan ke-63 selepas menyamai par 72. 

Nicholas Fung pula gagal memperbaiki aksinya untuk berada di kedudukan tiga tercorot dengan catatan tujuh di atas par 79.

"Ia satu kegagalan besar hari ini. Saya beraksi baik pada awalnya tetapi beberapa siri pukulan buruk menyaksikan saya memperoleh triple bogey. 

"Secara keseluruhan, segala-galanya tidak berpihak kepada saya. Pada penghujung saingan, saya mula bangkit, namun gagal mengekalkan pukulan konsisten," kata Gavin.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen