Selepas meraih pingat emas hatrik dalam Sukan SEA Filipina bulan lalu, atlet lompat kijang negara, Hakimi Ismail, mahu memperbaiki ranking dunia dalam merebut slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Atlet berusia 28 tahun itu membuktikan dia masih relevan untuk berada dalam program Majlis Sukan Negara (MSN) selepas mengekalkan status selaku jaguh lompat kijang Asia Tenggara.

Buat masa ini, saingan yang menjadi penentuan Hakimi untuk meraih tiket ke Tokyo adalah Kejohanan Dalam Dewan Asean bulan depan selain menyasarkan untuk layak ke Kejohanan Dalam Dewan Dunia di China sebulan kemudian.

Bagaimanapun, atlet kelahiran Perak itu optimis mampu memperbaiki ranking dunia sekurang-kurangnya berada di tangga ke-36 atau layak secara merit dengan lompatan sejauh 17.14 meter tatkala dia kini berada di tangga ke-53.

"Untuk pertandingan sebelum Olimpik, saya rasa yang terdekat adalah Kejohanan Dalam Dewan Asean. Kalau saya dapat ke Kejohanan Dalam Dewan Dunia, ia satu lagi saingan penting untuk ranking dunia," katanya.

Berbaki kurang enam bulan sebelum bermulanya temasya Tokyo itu, Hakimi berharap dia tidak dilanda sebarang kecederaan yang menyebabkannya terlepas peluang beraksi dalam Sukan Olimpik Rio empat tahun lalu gara-gara masalah retak tulang di bahagian buku lali.

"Saya akan cuba melepasi 17.14 m. Perancangannya adalah layak menerusi ranking dunia. Saingan Olimpik kali ini sangat penting, sebelum ini tidak dapat pergi akibat kecederaan. Saya belajar daripada situasi itu."


Editor: Nafis Abdullah