Perak ungguli Kejohanan Bola Baling Kebangsaan 2016

Oleh Staff Writer 12 Disember 2016 111
Perak ungguli Kejohanan Bola Baling Kebangsaan 2016
Perak muncul juara kategori lelaki dan wanita Kejohanan Bola Baling Kebangsaan 2016 selepas mengecewakan tuan rumah, Terengganu, dalam aksi final di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini.

Perlawanan akhir kategori lelaki berlangsung sengit selepas kedua-dua pasukan saling berbalas jaringan, menyaksikan babak pertama berakhir 8-7 berpihak kepada Perak.

Kecederaan tonggak Terengganu, Muhamad Amsyar, pada awal perlawanan ternyata menjejaskan rentak tuan rumah yang cuba bangkit pada babak kedua, namun gagal menyekat Perak yang lebih unggul untuk menang 21-18.

Kejayaan skuad lelaki Perak itu dilakar selepas pasukan wanita mereka terlebih dahulu bergelar juara menewaskan lawan yang sama.

Permulaan baik ditunjukkan Perak selepas mudah mendahului 5-0 pada awal permainan, malah gol pertama Terengganu hanya hadir pada lima minit terakhir separuh masa pertama.

Mendahului 6-3 pada babak pertama, Perak berjaya mengekalkan penguasaan dan menafikan kebangkitan Terengganu untuk menang 11-7.

Selaku juara kategori lelaki, Perak membawa pulang trofi, medal dan wang tunai RM1,000 manakala Terengganu memenangi trofi, medal dan RM700.

Juara kategori wanita pula menggondol trofi, medal dan wang tunai RM800 dan naib juara meraih trofi, medal dan hadiah kemenangan RM600.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu, yang diiringi Naib Presiden Persekutuan Bola Baling Malaysia (MAHF), Dr Abang Ismail Abang Julhi dan Timbalan Presiden Persatuan Bola Baling Negeri Terengganu (PBBN), Paudzi Mohamad.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen