Kewujudan Perbadanan Sukan Negeri Perak dapat memastikan setiap kemudahan sukan yang telah dinaik taraf dan dibina sempena Sukan Malaysia (Sukma) 2018 mencapai objektif serta penggunaan yang optimum.

Di samping itu, Kerajaan Negeri Perak merancang untuk menjadikan bandar raya Ipoh sebagai bandar raya sukan, sekali gus meningkatkan penggunaan kemudahan yang ada.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Negeri, Howard Lee Chuan How, berkata demikian dalam kenyataan akhbarnya ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Aulong mengenai kejayaan dan kelemahan yang dipelajari serta perancangan Kerajaan Negeri untuk memastikan setiap kemudahan sukan yang dibina akan mencapai penggunaan optimum dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, sebentar tadi.

Katanya, penganjuran Sukma Ke-19 di Perak secara keseluruhannya berjalan dengan lancar dan jayanya seperti yang dihasratkan oleh Kerajaan Negeri untuk menjadi penganjur terbaik temasya Sukma kali ini.

Persediaan yang teliti dan kualiti venue pertandingan merupakan salah satu aspek yang memberikan kejayaan kepada negeri Perak sebagai tuan rumah penganjuran Sukma Ke-19 itu.

Selain itu, penganjuran Sukma Perak yang melibatkan 39 lokasi pertandingan di 12 daerah di seluruh negeri Perak dilihat mencapai sasaran kerajaan negeri bagi memastikan semua rakyat bersama-sama dalam meraikan atlet dan kontinjen penganjuran sukan ini.

Katanya lagi, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, semasa Majlis Perasmian Penutup Sukma mengakui negeri Perak menjadi penganjur paling berjaya dalam
sejarah.

Jelasnya, Sukma Perak 2018 juga telah melahirkan atlet-atlet cemerlang dengan rekod baru Sukma dan rekod kebangsaan yang telah dicipta dalam sukan akuatik, angkat berat, olahraga, menembak dan memanah.

Persediaan yang teliti dan kualiti venue pertandingan merupakan salah satu aspek yang memberikan kejayaan kepada negeri Perak sebagai tuan rumah Sukma 2018.

Semua masalah dan isu yang timbul sepanjang penganjuran telah diselesaikan secara sistematik dengan segera oleh kesemua Jawatankuasa Pengelola dan Pelaksana di peringkat negeri dan daerah yang telah dilantik.