Perak peruntukkan RM5.8j program pembangunan sukan

Oleh Azizan Hashim 4 Disember 2018 196
Perak peruntukkan RM5.8j program pembangunan sukan
Sukan Perak mendapat suntikan apabila menerima peruntukan sebanyak RM 5.8 juta dalam Belanjawan Negeri Perak 2019 untuk menjalankan program-pembangunan sukan.

Pengerusi Jawatankuasa  Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Negeri, Howard Lee Chuan How, berkata buat pertama kali dalam sejarah pentadbiran negeri, belanjawan telah 
menyediakan peruntukan permulaan  RM1j untuk penubuhan Perbadanan Sukan Negeri.

Chuan How berkata penubuhan perbadanan itu penting dalam mentadbir dan menyelenggara fasiliti serta aset-aset sukan di Perak bagi memastikan kemudahan sukan yang ada sentiasa berada dalam keadaan yang terbaik dan kualitinya dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Beliau berkata demikian dalam rumusan ucapan penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Mesyuarat Ketiga, Penggal Pertama, hari ini.

Katanya, perbadanan itu akan menjadi wadah sebagai badan penyelia dan pemudah cara bagi penganjuran temasya-temasya sukan pelbagai skala dan acara-acara komersial seperti rekreasi dan hiburan. 

Menurut Chuan How lagi, ia juga akan menjadi penyumbang kepada kerajaan negeri dalam menjana pendapatan dan hasil kepada kerajaan negeri mahupun rakyat Perak.

Katanya, keprihatinan kerajaan di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, terserlah apabila skuad bola sepak dan hoki negeri Perak yang menjuarai Piala Malaysia dan  Piala Tun Razak masing-masing menerima insentif RM300,000 dan RM100,000 berikutan kejayaan mereka itu. 

 

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen