Pengendali Perak, Phuah Lai Hock, menyifatkan kejayaan negeri itu menjuarai Kejohanan Bola Baling Kebangsaan 2016 adalah satu petunjuk supaya sukan itu kembali dipertandingkan dalam Sukan Malaysia (Sukma) akan datang, selepas kali terakhir diadakan tiga tahun lalu.

“Kejuaraan ini ternyata menepati sasaran awal yang diletakkan persatuan kerana selaku tuan rumah Sukma 2018, kami mahu melobi agar bola baling dipertandingkan selepas disisihkan dalam edisi lalu di Sarawak.

“Kali terakhir acara bola baling dipertandingkan adalah pada 2013 di Kuala Lumpur, begitu juga kejohanan kebangsaan ini dan kami agak terkilan kerana sukan ini bertaraf Olimpik,” ujarnya.

Komitmen Perak membuahkan hasil selepas pasukan lelaki dan wanita mereka mengecewakan hasrat tuan rumah, Terengganu, untuk membolot kedua-dua kategori itu, semalam.

“Saya sangat berpuas hati dengan semangat juang dan kecekalan tinggi pemain yang mengekalkan rekod tanpa kalah dari peringkat kumpulan lagi.

“Meskipun persiapan kami singkat, pasukan ini dibarisi pemain yang berbakat, malah lapan daripada 14 pemain ini masih layak beraksi dalam Sukma kerana ada yang baru berusia 15 tahun,” tambah Lai Hock lagi.

Bagi ketua jurulatih Terengganu, Mohd Fadli Sidek, meskipun beraksi sebagai tuan rumah, mereka terpaksa akur dengan kekalahan dalam kedua-dua perlawanan akhir itu.

“Kami telah bermain dengan baik, namun kelemahan yang agak ketara ditunjukkan terutama dalam membuat hantaran. Malah, pihak lawan dapat membuat serangan balas gara-gara kesilapan mudah pemain.

“Terdapat banyak peluang untuk menjaringkan gol, namun dinafikan penjaga gawang Perak yang beraksi dengan sangat cemerlang.

“Begitu juga dengan pasukan wanita di mana kami beraksi dengan tertekan kerana ketinggalan 0-5 dan pemain-pemain buntu pada 15 minit pertama.

“Walaupun kami menukar taktik pada saat akhir, ia juga tidak menjadi dan apa yang dirancang gagal diterjemahkan. Namun, ini adalah pendedahan terbaik kerana kedua-dua pasukan ini adalah skuad Projek Sukma 2018, jika ia dipertandingkan,” kata Mohd Fadli.