The Bos Gaurus berhasrat mengekalkan kejuaraan dalam kejohanan Majlis Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (MSKPPM) Ke-44 yang akan berlangsung di Kedah dari 17 hingga 22 Disember ini.

Menurut Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Datuk Rozi Puteh Ismail, status 'Perak EXcellent' harus dikekalkan.

"Moto 3M ditekankan, iaitu 'Masuk, Mesti dan Menang' sebagai cabaran kepada atlet yang terlibat.

"Dalam edisi di Putrajaya tahun lalu, kami muncul juara. Saya dan pengurusan yakin warga pendidik kami mampu mengulanginya," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Sukan JPN Perak, Kamaruddin Ghazali, turut yakin dengan keupayaan Perak.

"Saya sasarkan kami dapat menjadi juara dalam empat kategori di samping mata daripada kategori lain. Ini sudah cukup untuk dinobatkan sebagai juara keseluruhan".

Perak menghantar 131 atlet dalam 10 acara sukan yang dipertandingkan.