Perak berharap penganjur Sukan Malaysia (SUKMA) 2020, Johor, mengekalkan 10 acara angkat berat dalam temasya dwitahunan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Modal Insan Negeri, Howard Lee Chuan How, berharap ura-ura Johor untuk mengurangkan acara angkat berat itu tidak menjadi kenyataan.

"Selepas bersusah-payah semua pihak memperjuangkan nasib sukan itu supaya diterima dalam SUKMA, adalah rugi jika pengurangan itu dilakukan.

"Atas apa alasan sekalipun, kita perlu rasional dan berlaku adil, terutama kepada atlet.

"Walaupun angkat berat diselubungi kontroversi penyalahgunaan dadah, bukan ramai yang terlibat.

"Jadi, jangan nafikan hak atlet untuk bertanding di peringkat tinggi," kata Chuan How dalam sidang media sempena kerjasama dengan Mineski pelabur Esukan.

Menurut Chuan How, pejabatnya menerima surat daripada penganjur SUKMA mengenai isu mengurangkan acara sukan angkat berat yang akan dibincangkan dalam mesyuarat Ahad ini.

"Saya berharap penganjur tidak meneruskan rancangan mereka itu selepas mendengar pandangan semua pihak Ahad ini," tambahnya.

Difahamkan, penganjur bercadang mengurangkan acara sukan angkat berat daripada10 kepada empat atau lima sahaja.