Perak akan menganjurkan dua acara sukan, iaitu Karnival Sukan Tempur dan Karnival Sukan Jabatan dan Agensi Kerajaan Perak.

Karnival Sukan Tempur membabitkan silat, silambam, muay thai dan wushu akan berlangsung hujung minggu ini di AEON Big, Falim sementara sukan antara jabatan meliputi enam sukan, iaitu golf, bola tampar, bola jaring, badminton, boling tenpin dan futsal sepanjang bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pembangunan Insan, Howard Lee Chuan How, berkata kejohanan-kejohanan itu kali pertama diadakan bertujuan memupuk dan mengeratkan perpaduan dalam kalangan atlet dan kakitangan.

Menurut Chuan How, sebanyak 476 pingat emas dipertandingkan dalam kejohanan sukan kombat yang dijangka disertai 1,000 atlet itu sementara sukan antara jabatan membabitkan 30 jabatan dan disertai kira-kira 3,000 penjawat awam.

"Saya berharap kejohanan ini akan mendapat sambutan masyarakat setempat dalam usaha kita mempromosi sukan-sukan ini, " katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden Muay Thai Perak, Azril Rizal Abd Aziz, Presiden Silambam Perak, C. Marimuthu dan Setiausaha Persatuan Wushu Perak, Chin King Thong.