Atlet lompat jauh para negara, Abdul Latif Romly, bakal mencabar atlet normal dalam acara 100 meter menerusi penglibatan dalam kejohanan pembuka tirai musim ini, Perak All-Comers.

Itu merupakan salah satu inisiatif jurulatih dalam memantapkan lagi ketahanan kelajuan atlet berusia 22 tahun itu untuk acara dominannya, lompat jauh, bagi menghadapi kejohanan yang lebih besar.

Selain saingan di Perak itu, Latif dalam persiapan bagi Sukan Para ASEAN, diikuti Terbuka Paris, April depan bagi memastikan tempat dalam temasya Paralimpik Tokyo 2020.

"Saya tidak akan beraksi dalam acara lompat jauh, jurulatih meminta saya untuk menyertai acara pecut 100m bagi menguji kemampuan saya," kata Latif.

Sementara itu, atlet berasal Perlis itu turut terkesan dengan satu lagi perkhabaran kemungkinan penundaan Sukan Para ASEAN buat kali ketiga.

"Penundaan saingan Sukan Para ASEAN telah menjejaskan persiapan kami serta barisan atlet untuk menghadapi Paralimpik Tokyo 2020."



Editor: Ammar Hakim