Penyokong kelab bola sepak Liverpool di Sabah terus meluaskan pengaruh mereka apabila satu lagi kelab penyokong 'Jesselton Reds' dilancarkan di Kota Kinabalu, hari ini.

Kelab yang telah berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 16 Ogos lalu itu kini berjaya menarik 80 ahli seumur hidup serta lebih 55 ahli biasa.

Presidennya, Adrian Sikawah, berkata tujuan kelab berkenaan dibuka bukanlah untuk 'membayangi' kelab penyokong The Reds sedia ada di Sabah, khususnya di Kota Kinabalu, tetapi untuk mencapai matlamat menyatupadukan semua peminat serta penyokong kelab EPL berkenaan.

"Terdapat banyak kelab penyokong Liverpool di Kota Kinabalu yang mana tujuannya adalah sama, iaitu menyatupadukan semua penyokong di Sabah.

"Jesselton Reds ini sebenarnya satu lagi platform penyokong setia Liverpool untuk sama-sama menjalankan pelbagai aktiviti yang bakal dianjurkan kelak," katanya ketika berucap sempena pelancaran kelab berkenaan, pagi tadi.

Turut hadir, Penaung Jesselton Reds, Datuk Mohd Hasnol Ayub.

Sementara itu, Hasnol dalam ucapan perasmian beliau menyeru supaya semua kelab penyokong mana-mana pasukan EPL supaya tidak terlalu emosi sehingga menjejaskan hubungan silaturahim.

"Adalah perkara biasa jika kita kalah, kita akan dimalukan dan begitu juga sebaliknya...itulah yang menjadikan perkara ini menarik.

"Bagaimanapun, kita perlu anggap ini sebagai satu gurauan dan tidak terlalu emosi kerana pada akhirnya kita semua tetap kawan," katanya.

Beliau dalam pada itu turut menyeru sama ada Jesselton Reds atau kelab penyokong Liverpool lain supaya sentiasa mengadakan aktiviti bersama demi mencapai matlamat menyatupadukan semua penyokong.

"Tujuan dan matlamat kita sebenarnya sama, cuma mungkin organisasi itu ada sedikit berlainan. Sehubungan itu, kalau boleh saya minta Jesselton Reds supaya memanggil rakan-rakan penyokong lain untuk sama-sama dalam aktiviti yang dilaksanakan mereka," katanya.