Pengarah Program Podium, Tim Newenham, mendedahkan beberapa atlet bakal digugurkan daripada program itu Februari depan gara-gara gagal meningkatkan prestasi selepas lapan bulan diberi layanan khas.

Atlet yang gagal meningkatkan prestasi mempunyai tempoh tiga bulan untuk membuktikan mereka layak kekal dalam program yang menelan belanja RM75 juta setahun itu.

Seramai 97 atlet mewakili 21 jenis sukan, termasuk pemenang pingat Sukan Olimpik Rio 2016, berada dalam program itu.

Namun, mereka yang dianggap penumpang akan digugurkan.

"Kami telah meletakkan beberapa atlet dalam pengawasan, namun kami tidak akan menyebut nama mereka.

"Tetapi kami mengawasi mereka ini kerana masih belum berpuas hati dengan prestasi mereka sepertimana yang kami sangkakan pada awal program ini," jelasnya.

Pada masa sama, Newenham turut mengumumkan kriteria baru pemilihan atlet Program Podium di Bukit Jalil.

Beberapa penambahan dilakukan, termasuk membabitkan pemenang pingat Sukan Paralimpik Rio 2016.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Dr Mohd Khairi Zawi, mengumumkan beliau akan meletak jawatan jika Program Podium gagal menghasilkan emas sulung Malaysia dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Jika atlet negara masih gagal meraih pingat emas selepas Program Podium ini, ia bermakna kepimpinan saya tidak cukup untuk menghadiahkan pingat emas pertama negara.

"Saya akan mengambil tanggungjawab itu sekiranya atlet gagal meraih emas di Tokyo 2020," jelasnya.

Anda juga boleh mendapat berita ini melalui Stadium Astro app. Muat turun sekarang https://www.stadiumastro.com/ms/mobile-app