"Tujuh bulan yang amat memeritkan." Itu yang terpaksa dilalui oleh atlet bina badan negara, Syarul Azman Mahen Abdullah, selepas bergelar Mr World kategori fizikal dalam Kejohanan Dunia di Pattaya, Thailand.

Itu merupakan gelaran utama kedua buat Azman selepas muncul Mr Asia 2016 kategori klasik di Bhutan awal tahun ini.

Mengimbas kembali persiapannya untuk ke Kejohanan Dunia, Azman mengakui dia melalui tempoh yang cukup sukar sepanjang tujuh bulan lalu.

"Memang betul selepas pulang dari Bhutan untuk Kejohanan Asia, saya meneruskan diet yang telah saya lakukan bermula pada awal bulan sehingga pertengahan bulan lima.

"Selepas itu, saya terus menyambung diet saya kerana saya tahu Kejohanan Dunia bukannya sesuatu yang mudah sebab dalam kategori saya, ada 24 orang peserta semuanya," jelas Azman.

Tumpuan seterusnya buat Azman sudah pasti mempertahankan gelaran Mr Asia dalam saingan yang bakal berlangsung di Korea Selatan tahun hadapan.

Skuad bina badan negara tiba di Kuala Lumpur semalam selepas meraih dua emas dan satu pingat gangsa di Kejohanan Dunia.

Selain Azman, turut meraih emas ialah Lilian Tan dalam kategori lebih 55 kilogram wanita.

Ia merupakan kejayaan ketiga buat Lilian dalam saingan tersebut selepas Bangkok 2012 dan Mumbai 2014.

Atlet berusia 43 tahun itu menewaskan juara bertahan dari Vietnam, Dinh Kim Loan, di samping atlet Belgium, Michele Steenhaut.
"Ketika saya muncul juara dunia buat kali kedua di Mumbai, saya sudah memikirkan bagaimana cara untuk melakukan kemunculan semula buat kali ketiga, jadi saya berlatih selama dua tahun.

"Saya tidak berehat, malah tahun 2015 dan 2016 merupakan tahun paling gigih saya berlatih di samping mengamalkan pemakanan seimbang untuk kembali lebih besar dan kuat tahun ini."