Pengorbanan Azizulhasni demi negara

Oleh Ammar Hakim 1 Ogos 2020 106
Pengorbanan Azizulhasni demi negara
Pengorbanan jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang, sudah bertahun tidak pulang ke Terengganu untuk meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha, melahirkan perasaan sedih tatkala menjalani latihan di pagi perayaan.

Bagaimanapun, jurulatihnya, John Beasley, ada cara untuk memberi motivasi dan memujuk anak buahnya itu sehingga tidak sangka mampu mencapai catatan masa terbaik.

"Sudah lama saya tidak berada di Malaysia untuk meraikan sambutan Hari Raya bersama keluarga namun saya kekal positif dan melihat ini sebagai motivasi saya untuk terus berkhidmat dan berkorban demi negara," kata Azizulhasni ketika dihubungi Nadi Arena.

"Semalam saya masih tetap menjalani latihan intensif seperti biasa walaupun Hari Raya Aidiladha, namun jurulatih saya, John bijak menggunakan corak latihan yang berbeza dengan memberikan cabaran kepada pelumba negara dengan memberikan hadiah sebanyak AUD50 kepada kami.

"Kami tidak sentiasa mengharapkan habuan ini, tetapi ia menjadi semangat buat kami menghadapi latihan ini. Namun daripada sudut yang positif, saya serta beberapa pelumba basikal negara yang lain berjaya menampilkan peningkatan dalam sesi latihan."

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen