Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dinasihatkan supaya memfokuskan kepada pembangunan akar umbi dan pendidikan anti dadah berbanding membelanjakan ratusan ribu ringgit untuk membuat rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Pengerusi Jawatankuasa Anti-Doping dan Perubatan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Dr SS Cheema, berkata dengan ketiadaan kejohanan sukan besar dijadualkan sehingga tarikh akhir penggantungan iaitu April 2021 agak sia-sia untuk membelanjakan wang yang banyak bagi merayu kepada CAS yang berpusat di Swiss.

"Kos untuk merayu agak mahal, PABM perlu berfikir banyak kali sebelum merayu kerana Sukan Asia dan Komanwel hanya dianjurkan pada 2022 manakala Sukan SEA dijadualkan pada akhir 2021.

“Adalah lebih bijak untuk belanjakan wang itu bagi mewujudkan kesedaran menghapuskan isu tersebut. Ia sesuatu yang baik untuk membawa kes berkenaan ke CAS jika peluang untuk menang cerah,” kata Dr Cheema, yang telah lama berkecimpung dalam pentadbiran sukan, ketika dihubungi Bernama.

PABM digantung daripada menyertai sebarang aktiviti IWF selama setahun bermula 1 April hingga 1 April 2021, selain semua atlet angkat berat Malaysia tidak dibenarkan untuk menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Badan dunia itu juga tidak membenarkan atlet Malaysia menyertai sebarang kejohanan dan program anjuran IWF selama lima bulan sehingga 1 September 2020, susulan beberapa kes doping melibatkan badang negara pada 2018.

IWF berkata pengantungan satu tahun tersebut akan dikaji semula dan mungkin akan ditarik balik seawal 1 Oktober depan, jika PABM boleh menunjukkan yang mereka telah mencapai kriteria yang telah ditetapkan.

Setakat ini, tiada seorang atlet angkat berat Malaysia yang layak ke Sukan Olimpik Tokyo selain harapan pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2018, Muhammad Aznil Bidin, untuk melayakkan diri musnah akibat penggantungan tersebut.

PABM juga dalam perancangan untuk mendapatkan maklumat lanjut serta mengkaji kesan dan akibat sebelum membuat sebarang keputusan, sama ada membawa kes itu ke CAS atau tidak.

Sementara itu, tambah Dr. Cheema, bagi menghapuskan penyalahgunaan dadah, tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang menggunakannya, lebih berat daripada yang dikenakan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) kerana masalah itu kini telah merebak ke akar umbi.

“Satu yang menyedihkan untuk melihat atlet Sukma (Sukan Malaysia) juga diuji positif, ini bermakna kesedaran anti-doping dan pendidikan tidak sampai ke akar umbi. Ini perlu dihentikan di semua peringkat, demi kebaikan persatuan sukan kebangsaan dan negara.

"Hukuman yang lebih berat, lebih tinggi (perlu diketengahkan PABM) daripada yang dikenakan WADA. Sebagai contoh, tidak memilih mereka untuk menyertai apa juga kejohanan sebagai menghantar isyarat jelas kepada atlet muda. Jangan lupa juga punca masalah ini ialah pembekal.

“Atlet (didapati positif) mesti beri kerjasama penuh dalam perbicaraan dan panel perlu siasat sepenuhnya siapalkah pembekal mereka.

"Jika lepaskan pembekal, mereka akan terus rosakkan atlet dan sukan lain. Tindakan ini juga akan mengalakkan lebih ramai pemberi maklumat untuk membantu,” katanya.

-- BERNAMA