Suasana pilu menyelubungi rumah mayat Hospital Kajang semalam. Proses bedah siasat pemanah senior negara, Allahyarham Haziq Kamarudin, mengambil masa kira-kira empat jam sebelum jenazah dimandikan, dikafankan dan dibawa ke Merlimau, Melaka sekitar jam 10.35 malam bagi proses pengebumian.

Jenazah yang dibawa dari Hospital Kajang tiba di lokasi pengebumian sekitar 12.45 pagi dan dikebumikan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Bagi rakan seperjuangan Haziq, Juwaidi Mazuki, yang juga merupakan pemanah berpengalaman dalam skuad negara, proses pengebumian rakannya itu berjalan dengan amat lancar dan senyuman manis Allahyarham pasti akan dirindui setiap orang.

"Jenazah sampai (ke Merlimau) dalam jam 12 lebih dan selepas itu segala urusan berjalan dengan amat lancar," katanya kepada Astro Arena.

"Kami mengangkat jenazah masuk ke surau dan selepas itu kami membuka bahagian wajahnya untuk tatapan ahli keluarganya.

"Saya yang membuka kain kapannya dan mendapat peluang untuk menatap wajahnya itu boleh dikatakan satu rezeki.

"Kami melakukan solat jenazah sekali lagi di sini dan selepas itu kami terus ke tanah perkuburan," katanya

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan bahawa hasil bedah siasat mendapati kematian mengejut pemanah negara itu adalah disebabkan "komplikasi salur darah jantung tersumbat akibat daripada perubahan arterosklerosis (coronary artery atherosclerosis)".