Penganjuran Liga Futsal Kebangsaan (LFK) 2018 menimbulkan rasa kurang senang beberapa pasukan kerana hanya dua slot diperuntukkan kepada 18 pasukan dalam saingan kelayakan untuk ke kejohanan utama.

Bagi pengendali Pahang Kuantan Rangers, Faizol Ghaffar, jumlah 18 pasukan yang bersaing menunjukkan saingan futsal kini mendapat sambutan menggalakkan.

Bagaimanapun, apabila hanya 10 pasukan yang berentap dalam LFK tetapi hanya dua slot dari saingan kelayakan, ia tampak tidak mampu meluaskan kelompok pemain buat skuad kebangsaan.

Pendapat itu turut dipersetujui pengurus Kuala Lumpur Marcerra United, Sharizin Shabarudin: "Apabila bilangan pasukan dikurangkan, bakat-bakat baru yang mempunyai potensi dan kelebihan untuk bermain agak terbantut."

"Saya mengharapkan pihak FAM mewujudkan dua liga, iaitu Liga Perdana dan Liga Super untuk futsal," kata Faizol lagi.

"Setiap pasukan mungkin telah melakukan persiapan selama sebulan atau lebih lama daripada itu, jadi sayang sekiranya hanya dua pasukan untuk menyertai LFK dan mungkin 16 pasukan lagi akan meneruskan aksi kompetitif dalam liga yang tidak disahkan atau liga sosial," tambah Sharizin.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bolasepak Pantai, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Rosmadi Ismail, mengakui kekangan kewangan membataskan penganjuran LFK yang lebih besar pada kali ini

Dalam masa sama, jaminan tetap diberi bahawa FAM sudah memulakan usaha untuk mendapatkan tajaan bagi membolehkan penyertaan lebih besar untuk musim 2019, malah saingan dua divisyen dan perlawanan timbal balik bagi aksi liga akan dipertimbangkan.

"Walaupun tidak dapat menyamai taraf bola sepak, kami sememangnya mahukan sukan futsal menuju ke arah tersebut.

"Kalau kita masih kekal dengan cara sekarang, tahap futsal berbanding liga yang ada dalam bola sepak amat jauh," ujarnya.