Penganjuran Cobra 10s 2018 kurang satu pasukan

Oleh Penulis Jemputan 25 Oktober 2018 360
Penganjuran Cobra 10s 2018 kurang satu pasukan
Penganjur Kejohanan Ragbi Cobra 10 Sepasukan 2018 tidak gusar walaupun masih belum dapat mengesahkan penyertaan satu lagi pasukan tempatan bagi saingan yang akan berlangsung pertengahan bulan depan.

Kejohanan Cobra 10s kembali dengan edisi ke-48 tahun ini, menyaksikan penyertaan 16 pasukan secara keseluruhan.

Sebanyak 11 pasukan merupakan kelab luar negara, termasuk juara bertahan dari Fiji, Daveta, manakala lima lagi akan dilengkapkan oleh kelab tempatan, namun salah satu daripadanya menarik diri daripada saingan.

Namun, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Cobra 10s 2018, Tan Sri Krishnan Tan, percaya pasukan gantian dapat diperoleh walaupun mengakui pertindihan jadual membabitkan Piala Agong 2018 menyaksikan beberapa pasukan negeri enggan melepaskan pemain masing-masing.

"Piala Agong berlangsung kira-kira seminggu selepas kejohanan kami. Terdapat banyak pasukan tempatan yang mahu mengekalkan pemain mereka dan tidak dapat melibatkan diri dengan skuad kami. 

"Situasi itu menyebabkan kami sukar mendapatkan beberapa pemain utama," kata Krishnan dalam majlis sidang media memperkenalkan Kejohanan Cobra 10s 2018 serta penyerahan tajaan kejohanan di Petaling Jaya, hari ini, yang turut dihadiri presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya, serta Pesuruhjaya Tinggi Fiji ke Malaysia, Kolonio Gata.

Sementara itu, Krishnan turut berharap jumlah penonton yang menyaksikan kejohanan kali ini akan meningkat berbanding edisi tahun lalu.

"Generasi muda lebih cenderung menyaksikan perlawanan menerusi telefon bimbit berbanding hadir ke stadium. Teknologi telah memberi kesan kepada kehadiran penyokong.

"Tahun lalu, kami menerima kedatangan hampir 7,000 orang dan kami berharap dapat menambah jumlah itu."
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen