Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, tidak menafikan Datuk Seri Norza Zakaria antara calon terbaik ketika ini untuk mengambil alih posisi Tunku Imran Tuanku Ja'afar selaku presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), tahun depan.

Keputusan Tunku Imran untuk tidak lagi mempertahankan jawatannya sebagai presiden dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 2018 bakal memberi laluan kepada Norza selaku timbalan presiden ketika ini untuk mengisi kekosongan itu.

Ia turut dipersetujui Khairy apabila Norza memiliki kriteria yang diperlukan selaku presiden berdasarkan usianya yang masih muda untuk menerajui MOM menjadi organisasi yang lebih maju.

"Kalau kita lihat susunan MOM, timbalan presidennya adalah individu yang saya lihat sebagai seorang yang berpengalaman dan muda, jadi dia boleh dipertimbangkan," katanya.

Tidak kira siapa yang bakal dipilih, Khairy mengharapkan individu itu mampu melaksanakan tugas dengan sewajarnya seperti yang telah dilakukan oleh Tunku Imran selama hampir 20 tahun.

Beliau turut merasai kehilangan Tunku Imran selepas berjaya membawa perubahan yang cukup baik kepada MOM selama ini.

"Saya menghormati keputusan beliau dan Tunku Imran masih lagi menawarkan khidmat sebagai penasihat tidak rasmi, sama ada untuk MOM atau sukan Malaysia," katanya.

Sementara itu, Khairy juga menjelaskan segala pembayaran berkaitan penganjuran Sukan SEA 2017 akan disempurnakan pada hujung tahun ini sambil memuji semua pihak yang terlibat kerana peruntukan untuk Kuala Lumpur 2017 lebih kecil berbanding Myanmar dan Singapura, sebelum ini.

“Bulan ini, kami ingin menutup segala pembayaran untuk semua pembekal-pembekal serta pihak-pihak berkaitan, mungkin ada yang memerlukan sedikit masa kerana ada beberapa dokumen yang perlu disemak.

“Mungkin semua urusan yang berkaitan dengan penganjuran dapat diselesaikan pada hujung tahun ini," tambahnya.