Mohd Nafiizwan Adnan terus membuktikan status sebagai pemain lelaki nombor satu negara apabila layak ke separuh akhir Kejohanan Skuasy Kebangsaan, begitu juga Delia Arnold.

Pemain perseorangan wanita itu turun ke gelanggang terlebih dahulu dalam aksi suku akhir dengan menentang Zoe Foo.

Selain memburu tempat ke separuh akhir, Delia turut mahu mengekalkan rekod kemenangan bersih tanpa tewas sebarang set dalam kejohanan ini.

Selepas memenangi set pertama 11-3, Zoe membuat Delia mengerah keringat pada dua set berikutnya.

Mujur, pengalaman memihak Delia untuk menewaskan Zoe 11-7, 11-7.

"Sebelum ini, saya pernah berdepan dengan Zoe tapi pada kali ini pertarungan kami berlangsung sengit.

"Dia telah menunjukkan kemajuan, namun saya gembira dapat mara ke separuh akhir," kata Delia.

Berdasarkan keputusan suku akhir lain, ini bermakna Delia akan berentap menentang jaguh remaja negara, S. Sivasangari, yang menewaskan Aifa Azman.

Dalam pada itu, Nafiizwan bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mengikut jejak langkah Delia.

Menentang Syafiq Kamal, Nafiizwan dikejutkan dengan aksi pantas lawannya sebelum tewas 9-11.

Kekalahan itu, bagaimanapun, berupaya membuatkan Nafiizwan untuk kembali mengatur strategi dengan memenangi tiga set berikutnya 11-5, 11-8, 11-4.

"Pada set pertama, dia memberikan saya laluan sukar.

"Pengalaman yang ada digunakan oleh saya untuk membiasakan dengan keadaan gelanggang yang agak rumit.

"Kemenangan adalah kemenangan. Dia mempunyai keazaman dan memberikan saya kesukaran sebelum meraih kemenangan 3-1," kata Nafiizwan pula.