Pencapaian sukan tanah air sepanjang 2019 "suam-suam kuku"

Oleh Bernama 29 Disember 2019 174
Pencapaian sukan tanah air sepanjang 2019
Tahun 2019 menyaksikan arena sukan tanah air melakar pelbagai cerita suka dan duka tersendiri atlet negara.

Secara keseluruhan, prestasi sukan Malaysia pada 2019 ada pasang-surut dan lebih pahit apabila kontinjen negara gagal mencapai sasaran 70 pingat emas dalam Sukan SEA Ke-30 di Filipina.

Paling memalukan, kekalahan mengejut 1-3 skuad bola sepak B-22 negara kepada pasukan kerdil, Kemboja, dalam aksi pusingan awal dan ia detik hitam dalam sejarah bola sepak negara memandangkan negara berkenaan tidak mempunyai fasiliti bola sepak lebih baik berbanding Malaysia.

Kempen Sukan SEA 2019 menyaksikan hanya 18 daripada 26 jenis sukan yang disasarkan untuk memenangi emas menyumbang kutipan 50 emas, sekali gus menggambarkan beberapa sukan teras gagal mencatat pencapaian sebagaimana diharapkan.

Prestasi atlet seperti pemanah negara, Khairul Anuar Mohamad; atlet pelayaran, Khairul Nizam Afendy, dan perenang elit, Welson Sim, gagal mempamerkan prestasi membanggakan di kala kontinjen negara mengharapkan mereka untuk menghadirkan kilauan emas dalam temasya berkenaan.

Namun, di sebalik kegagalan kontinjen negara mencapai sasaran ditetapkan, beberapa atlet yang sebelum ini tidak disenaraikan antara berpotensi menyumbang pingat emas kepada kontinjen Malaysia membuat kejutan dalam temasya di Filipina itu.

Bermula dengan gimnastik artistik dan berirama yang menampilkan aksi cemerlang apabila menyumbang sembilan pingat emas, ia diikuti olahraga (lima emas), serta masing-masing empat emas dalam acara terjun, karate dan boling padang selain badminton yang meraih tiga emas.

Pujian wajar diberikan kepada sukan kurang dikenali yang menyelamatkan maruah kontinjen Malaysia apabila menyumbang sekurang-kurangnya satu emas iaitu papan selaju, catur, sukan tari, snuker dan billiard selain wushu, yang menyumbang dua emas walaupun tidak diletakkan sebarang sasaran.

Dalam pada itu, beberapa atlet negara mencipta kejutan selain terus mengekalkan prestasi cemerlang mereka di rantau Asia Tenggara, termasuk pelari pecut muda, Muhammad Haiqal Hanafi, yang mengekalkan status Malaysia sebagai Raja Pecut Asia Tenggara selepas mengungguli acara 100 meter dengan catatan 10.35 saat, selain ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi, yang mengaut tiga emas.

Atlet olahraga, Andre Anura Anuar, turut mempamerkan aksi luar biasa selepas melakar rekod baru kebangsaan dalam acara lompat jauh, iaitu 8.02m, memadamkan rekod terdahulu 7.88m yang dilakukan Josbert Tinus dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Thailand 2007.

Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol David, dua nama yang telah lama berada di persada teratas dunia, telah mengumumkan persaraan masing-masing secara rasmi dan ini sedikit-sebanyak menambah kesuraman arena sukan Malaysia.

Tanggal 13 Jun 2019, jaguh perseorangan badminton negara itu mengumumkan untuk menggantung raket selepas 19 tahun mewarnai sukan badminton negara selepas mendapat nasihat daripada doktor akibat kanser hidung yang dihidapinya.

Antara pencapaian besar Chong Wei yang terus diingati adalah pingat perak Sukan Olimpik bermula di Beijing 2008, diikuti London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.

Setelah Chong Wei bersara, dunia badminton tanah air mula tercari-cari bakal pengganti pemain kelahiran Pulau Mutiara itu kerana barisan pelapis ataupun penggantinya seperti Lee Jii Zia masih belum menampakkan prestasi mengagumkan.

Begitu juga dengan Nicol yang akhirnya memutuskan untuk meninggalkan pentas skuasy selepas 27 tahun bagi memberi ruang kepada barisan pemain muda membina nama di pentas antarabangsa. 

Pemain berusia 36 tahun itu mula berkecimpung dalam sukan skuasy seawal usia lima tahun dan memulakan karier sebagai pemain pada 1992 apabila merangkul pingat perak Kejohanan Remaja Pulau Pinang sehingga membolehkan dia merangkul gelaran dunia pertama tujuh tahun kemudian dalam Kejohanan Skuasy Remaja Dunia 1999 di Antwerp, Belgium ketika berusia 15 tahun.

Kejayaan itu meletakkan dirinya sebagai juara remaja dunia wanita termuda dalam sejarah dan kemudian menjulang gelaran dunia pada 2005, sekali gus meletakkannya di ranking pertama dunia buat kali pertama pada Januari 2006 ketika berusia 23 tahun.

Nicol merupakan rakyat Malaysia dan Asia pertama berada di kedudukan nombor satu dunia.

Selama 112 bulan berada di kedudukan pertama dunia, Nicol, yang dikenali dengan panggilan Duracell Bunny disebabkan kelincahan pemain berfizikal kecil itu, bagaimanapun menghadapi kesukaran apabila terkeluar daripada kelompok 10 terbaik dunia buat kali pertama tahun lalu apabila berdepan saingan daripada pemain lebih muda.

Arena permotoran negara juga tampak suram apabila pelumba negara seperti Hafizh Syahrin Abdullah dan Khairul Idham Pawi terpaksa ‘turun pangkat’ manakala Adam Norrodin pula tidak lagi berada dalam saingan MotoGP.

Hafizh Syahrin, yang sebelum ini merupakan pelumba kelas MotoGP pertama negara, terpaksa akur kembali ke saingan Moto2 musim depan selepas prestasi merosot bersama Red Bull KTM Tech3 manakala Super KIP pula, yang dilanda kecederaan, turun ke Moto3 bersama pasukan Petronas Sprinta Racing.

Sepang International Circuit (SIC) pula mencipta sejarah tersendiri apabila dipilih untuk pertama kali menganjurkan Races of Malaysia melibatkan perlumbaan dua dan empat roda serentak, iaitu Kejohanan Endurance Dunia (EWC) dan Kejuaraan Piala Touring Car Dunia (WTCR). 

Dunia sukan tanah air juga tidak lari daripada kontroversi sepanjang 2019, kali ini melibatkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) yang berdepan dengan kemelut kepimpinan.

Persaingan jawatan presiden badan induk sukan para negara itu menjadi perebutan dan agenda yang menimbulkan kontroversi membabitkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, dan Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.

Pada 29 Jun lalu, barisan kepimpinan baru MPM bagi penggal 2019-2023 masih kosong selepas AGM ditangguhkan berikutan tercetusnya pertikaian mengenai status Khairy sebagai timbalan presiden Persekutuan Ragbi Kerusi Roda Malaysia (MWRF) serta beberapa masalah berhubung penghantaran borang pencalonan yang dikatakan selepas tamat tempoh akhir.

Bagaimanapun, pada 14 Disember lalu, kemelut MPM akhirnya tamat apabila AGM ke-22 berlangsung dengan lancar dan jawatan presiden sah milik Megat Shahriman yang menang tanpa bertanding.

Namun, episod lain pula melanda atlet para kebangsaan apabila tuan rumah Sukan Para ASEAN Ke-10, Filipina, membuat keputusan menangguhkan temasya dwitahunan itu dari 18 hingga 25 Januari 2020 kepada 20-28 Mac yang sedikit merencatkan persiapan atlet untuk ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Tahun 2019 juga menyaksikan beberapa atlet negara bertekad memburu slot ke pentas Sukan Olimpik 2020 menerusi pelbagai platform kejohanan yang menawarkan tiket automatik ke temasya sukan terbesar di dunia itu.

Selepas kejayaan barisan atlet terjun negara, gimnas, Farah Ann, turut mencipta kejutan apabila layak ke Sukan Olimpik Tokyo selepas tampil dengan aksi cemerlang dalam pusingan kelayakan individu all around dalam Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia di Stuttgart, Jerman.

Dua pelayar wanita, Nuraisyah Jamil, 23, dan Juni Karimah Noor Jamali, 17, turut mengesahkan slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam Kejohanan Perahu Layar 470 Antarabangsa Asia di Shenzen, China, sekali gus menambah slot untuk acara pelayaran.

Perburuan tiket automatik ke Sukan Olimpik 2020 akan berterusan dengan beberapa lagi acara sukan seperti badminton dan berbasikal trek yang masih berlangsung sehingga Mei 2020.

Atlet yang sudah layak ke Tokyo 2020 ialah Nur Dhabitah Sabri, Wendy Ng Yan Yee (3m papan anjal wanita) dan Pandelela Rinong bagi acara 10m platform wanita dan 10m platform seirama wanita bersama Leong Mun Yee; Khairulnizam Mohd Afendy dan Nurshazrin Mohd Atiff (pelayaran) dan Khairul Anuar Mohamad (memanah).

-- BERNAMA


Editor: Muzaffar Musa

Tentang Penulis

Bernama

Komen