Presiden Persatuan Pemain Golf Profesional Malaysia (PGM), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, menganggap Gavin Kyle Green sebagai ikon baru arena golf negara dan harus dijadikan contoh selepas dinobat Pemain Terbaik Jelajah Asia 2017.

Pemain berusia 24 tahun itu mencipta sejarah apabila menjadi pemain golf pertama Malaysia merangkul gelaran Order of Merit Jelajah Asia selepas mengharungi saingan sengit berdepan pemain golf terkemuka di rantau ini sepanjang 2017.

Dengan usianya yang masih muda, Ahmad Sarji melabelkan Gavin sebagai ikon negara yang perlu dijadikan inspirasi kepada pemain-pemain muda dalam saingan tahun depan.

Tambahnya, Gavin perlu bijak dalam memastikan pencapaiannya konsisten di samping harus bekerja keras, apatah lagi bakal menghadapi saingan berprestij, iaitu Kejohanan Terbuka 2018 dan WGC-Mexico.

"Dia dapat mendahului pemain-pemain Asia, Eropah dan Amerika Syarikat yang bermain dalam Jelajah Asia.

"Jadi, kejayaannya itu, bagi saya, adalah luar biasa sebagai pemain dari Malaysia," katanya ketika ditemui dalam majlis pelancaran kalendar Jelajah Golf PGM 2018 di TPC Kuala Kumpur, hari ini.

PGM menyenaraikan 10 kejohanan wanita pada tahun depan bagi meningkatkan pembangunan pemain golf wanita profesional yang dilihat masih kurang menyerlah di Malaysia ketika ini.

"Dengan adanya 10 kejohanan ini di Malaysia dan RM350,000 sebagai hadiah, saya harap lebih ramai lagi pemain muda wanita menyertainya," tambahnya.

Gavin Kyle Green
Umur : 24 tahun
Asal : Kuala Lumpur

Pencapaian terbaik :
• Pemain Terbaik Jelajah Asia 2017
• Juara Masters Taiwan 2017
• Mewakili pasukan Asia dalam Kejohanan Euroasia 2018