Pencapaian antarabangsa lonjak kem boling padang negara 

Oleh Penulis Jemputan 5 November 2018 49
Pencapaian antarabangsa lonjak kem boling padang negara 
Atlet boling padang wanita negara, Nurul Alyani Jamil, berharap kejayaan meraih pingat perak dalam Kejohanan Juara-Juara Perseorangan Dunia mampu membuka peluang lebih cerah untuknya terus diberi kepercayaan beraksi di pentas dunia.

Alyani melakar kejutan menewaskan pemain terkemuka Scotland, Dee Hoogan, untuk mara ke final sebelum memenangi perak apabila tewas di tangan Jo Edwards dari New Zealand. 

Nyata, ia adalah prestasi terbaik dirakamnya memandangkan ini adalah penampilan pertama Alyani di pentas dunia selain tidak disenaraikan dalam Sukan Komanwel Gold Coast, April lalu. 

"Kekuatan utama saya adalah arwah bapa yang ingin melihat saya berjaya di peringkat dunia. 

"Ini merupakan satu permulaan yang baik untuk berjaya dalam bidang ini. 

"Walaupun tidak diletakkan di bawah sebarang program, saya tetap berlatih bersama pasukan untuk mengekalkan momentum," kata Alyani yang disambut oleh rakan sepasukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama-sama seorang lagi atlet lelaki yang merangkul gangsa, Zulhilmie Redzuan, hari ini. 

Zulhimie yang kini berada dalam Program Podium berharap sukan boling padang akan terus diberi perhatian untuk dijadikan prospek negara dalam kejohanan selepas penstrukturan semula program itu bakal dilakukan tahun depan.

"Saya harap program ini akan diteruskan pada tahun depan. 

"Tidak kira di bawah program mana sekalipun, persiapan untuk Sukan SEA 2019 akan diteruskan," katanya. 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen