Penangguhan: Atlet perlu ada mentaliti kemenangan -- presiden MOM

Oleh Shaiful Shamsudin 25 Mac 2020 35
 Penangguhan: Atlet perlu ada mentaliti kemenangan -- presiden MOM
Keputusan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menangguhkan Sukan Olimpik Tokyo ke tahun depan menimbulkan persoalan selepas Presiden IOC, Thomas Bach, mengesahkan pihaknya sedang menjalankan rundingan dengan 33 persekutuan sukan antarabangsa mengenai sistem kelayakan yang baru.

Ia bagi mengenal pasti cara terbaik mengadakan sistem kelayakan selepas banyak kejohanan terpaksa dibatalkan ekoran wabak koronavirus baru (Covid-19).

Kejohanan kelayakan itu juga perlu adil dan tidak bertembung dengan mana-mana kejohanan lain dalam kalendar sukan dunia untuk memastikan semua atlit yang terkesan dapat bertanding.

Tempoh penangguhan itu bagaimanapun perlulah tidak melebihi Julai tahun depan.

Meskipun penantian untuk atlet negara mengerah keringat ke temasya Tokyo 2020 berpanjangan, aspirasi memenangi pingat emas pertama Olimpik Malaysia tetap menjadi sandaran.

Antaranya jaguh berbasikal trek, Azizulhasni Awang, Pandelela Rinong (terjun) dan Khairul Anuar Mohamad (memanah) termasuk empat atlet daripada kem pelayaran.

"Atlet perlu mempunyai mentaliti kemenangan, perkara-perkara ini adalah cabaran yang perlu dihadapi oleh semua orang.

"Siapa yang tabah dan cekal dalam menghadapi cabaran hidup dan bagaimana atlet boleh bangkit dalam keadaan yang menyelubungi pada hari ini, ia akan membuktikan sama ada mampukah atlet merealisasikan emas pertama.

"Saya berasa ada hikmah di sebalik keadaan ini, Insya-Allah sasaran kami tetap sama," kata Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria, ketika dihubungi wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani, hari ini. 

Dia yang membawa suara keluarga sukan Malaysia sebagai presiden MOM turut menegaskan kepentingan untuk komuniti itu menjadi contoh dalam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga yang dipanjangkan sehingga 14 April depan.

"Objektif utama kita ketika hari ini ialah menyahut seruan kerajaan untuk memelihara kesihatan dan menjaga rakyat Malaysia terhadap Covid-19."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen