Setiausaha Agung, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo, kecewa dengan tindakan penolongnya, Datuk Sieh Kok Chi, yang mendakwa badan induk itu dibelenggu pelbagai masalah sehingga membuatkannya menyokong pencabar Beng Choo menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), Sabtu ini.

Beng Choo menyifatkan tindakan Kok Chi yang menyokong pencalonan Datuk Mohd Nazifuddin Najib tidak mencerminkan situasi keseluruhan MOM kerana badan itu menjalankan tugas dengan baik, terutama dalam memastikan atlet negara menyertai Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan Sukan Komanwel Gold Coast bulan lalu tanpa sebarang masalah.

Justeru, Beng Choo menganggap tindakan itu lebih terarah kepada emosi untuk memastikan dirinya tewas di tangan Nazifuddin, Sabtu ini.

"Bagi MOM dan negara, kami mengamalkan satu sistem demokratik dan setiap orang berhak mengeluarkan kenyataan. Apa yang penting adalah kami masih menjalankan tugas dan berkongsi pejabat di MOM.

"Namun, tidak semestinya kami akan mengeluarkan pendapat yang sama dan saya telah berdepan situasi sama beberapa kali," kata Beng Choo.

Untuk rekod, Kok Chi yang mencadangkan Beng Choo untuk menggantikannya sebagai setiausaha agung MOM dalam AGM 2015.

Selain setiausaha agung, turut mencuri tumpuan adalah perebutan jawatan timbalan presiden MOM di antara Setiausaha Agung, Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.