Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, enggan melihat dirinya sebagai calon pilihan bagi merebut jawatan timbalan presiden menjelang pemilihan pucuk pimpinan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Sabtu ini.

Saingan bagi jawatan timbalan presiden MOM penggal 2018-2021 menyaksikan dua individu telah menerima pencalonan.

Selain Abdul Azim, turut dicalonkan ialah naib presiden MOM yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Menurut Abdul Azim, tiada istilah calon pilihan kerana apa yang lebih utama adalah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin.

"Mereka harus memikirkan mengenai kesesuaian calon tersebut, sama ada dia mempunyai pengalaman dan boleh membawa perubahan serta mempunyai masa untuk diberikan kepada bidang sukan, termasuk idea-idea baru yang boleh dibawa," katanya.

Selepas 20 tahun diterajui Tunku Imran Tuanku Ja'afar, MOM akan menyaksikan perubahan kepada barisan kepemimpinannya apabila Datuk Seri Norza Zakaria sah diumum sebagai presiden yang baru tanpa bertanding selepas tamat pencalonan pada 24 April lalu.

Abdul Azim menjelaskan beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama dengan Norza seandainya mendapat mandat daripada semua persatuan sukan kebangsaan untuk kedudukan timbalan presiden.

Pemilihan MOM menyaksikan setiap persatuan sukan kebangsaan mempunyai tiga undi, masing-masing daripada presiden, timbalan presiden dan juga setiausaha.

"Saya tahu apa kelebihan yang dimiliki Norza, begitu juga dengannya. Jadi, saya rasa ia akan menjadi satu gandingan yang mantap," ujarnya.