Penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 terlepas tarikh akhir untuk melunaskan wang hadiah kemenangan bernilai lebih RM800,000 kepada pasukan.

Ketua Pegawai Eksekutif Human Voyage, Shahaizereen Abdul Hamid, mendakwa kelewatan itu berpunca daripada 'masalah teknikal' ekoran perintah kawalan pergerakan (PKP).

Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) menetapkan peraturan setiap penganjur perlu melunaskan wang hadiah kemenangan 90 hari selepas perlumbaan tamat.

LTdL tamat pada 14 Februari lalu sekali gus gagal mematuhi peraturan itu.

Penganjur mendakwa kegagalan itu berpunca perintah PKP ekoran pandemik Covid-19.

"Kami sudah masuk dalam sistem UCI tetapi yang menjadi isu adalah bank yang berkaitan tutup ketika PKP, jadi kami tidak boleh buat pembayaran. Sebenarnya, ia bergantung kepada pihak bank. Kalau mereka boleh buka seawal mungkin, kami akan dapat selesaikannya," kata Shahaizereen.

Sebanyak 20 pasukan layak menerima wang hadiah kemenangan berjumlah RM823,450 tatkala Team Sapura Cycling (Sapura) muncul penerima terbanyak dengan RM140,000 hasil daripada tiga gelaran.

"Agak mengejutkan. Berbanding tahun lalu, kebiasaannya dua atau tiga minggu selepas saingan, mereka sudah buat pembayaran. Kami tunggu sehingga 90 hari mengikut peraturan UCI tetapi tiada jawapan. Jadi, kami akan jelaskan semula kepada pelumba mengenai status terbaru ini," kata pengurus Sapura, Mohd Sayuti Zahit.

"Buat masa sekarang, berdasarkan situasi terkini, kami memang tidak terlibat dengan mana-mana penyertaan luar negara tetapi hanya pengurusan gaji pekerja," tambah naib presiden PKBM, Firdaus Arshad.