Ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, terpaksa melupakan impian membuat penampilan kedua dalam Sukan Olimpik selepas menjalani pembedahan lutut 'anterior cruciate ligament' (ACL).

Pemenang pingat perak Sukan SEA 2017 itu terpaksa berehat sekurang-kurangnya enam bulan sekali gus akan menyerahkan tugas berkenaan kepada dua rakan seperjuangan seperti yang dikongsikannya dengan wartawan wakil Nadi Arena, Bazly Azmi.

Hanya keajaiban dapat membantu Zaidatul melepasi had kelayakan 100m Sukan Olimpik Tokyo 2021, iaitu 11.15 saat.

Dia memiliki catatan terbaik, iaitu 11.59s yang dilakukannya pada 2017 namun selepas menjalani pembedahan lutut, peluangnya dilihat tipis.

"Peluang saya memang tipis tetapi kalau sempat (cergas), saya akan cuba dapatkan tiket peluang khas untuk pergi (bertanding), " katanya.

Had kelayakan Sukan Olimpik untuk olahraga akan bermula 1 Disember depan.

Tanpa Zaidatul, rakan seperjuangannya perlu bekerja keras untuk memastikan Malaysia terus mempunyai wakil dalam acara pecut dalam temasya itu buat kali kedua berturut-turut.

"Calon terbaik untuk menggantikan tempat Zaidatul Husniah ialah Azreen Nabila Alias.

"Masih ada calon-calon lain lagi, tetapi kami menjurus kepada Azreen Nabila yang pernah berlatih di samping Zaidatul," kata jurulatih pecut negara, M Balamurugan.

Seorang lagi pelari negara, Siti Fatimah Mohamad, yang mempunyai catatan terbaik, 11.53s, menganggap ketiadaan rakan sepasukannya itu menjejaskan kem olahraga kebangsaan tetapi menganggap misi negara perlu diteruskan.

"Dia seorang pesaing yang bagus.

"Saya harap dapat pertahankan medal Sukan SEA dan Sukan Trek dan Padang Asia (ATF) pada tahun depan," katanya.