Penganjur saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2017 memberi jaminan perlumbaan itu tidak akan menerima nasib yang serupa seperti Jelajah Qatar dan Jelajah Oman yang dibatalkan akibat masalah kos.

Keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu menyaksikan penganjur Jelajah Qatar dan Oman terpaksa mengambil langkah drastik membatalkan perlumbaan berkenaan untuk musim 2017.

Ia secara tidak langsung menjadikan tumpuan terarah kepada LTdL 2017 selepas hanya menerima geran berjumlah RM6 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Ia nyata jauh berbeza berbanding edisi 2016 yang menyaksikan KBS menyalurkan RM11 juta.

Begitupun, Ketua Pegawai Eksekutif LTdL 2017, Emir Abdul Jalal, yakin perlumbaan berprestij di Asia itu tetap akan dilangsungkan di sebalik kekangan yang dihadapi.

"Pembatalan Jelajah Qatar dan kemungkinan Jelajah Oman yang akan menyusul adalah disebabkan oleh kos.

"Kami pun terkejut dengan pembatalan berkenaan oleh negara-negara Arab disebabkan tak cukup peruntukan.

"Walaupun kedudukan ekonomi Malaysia jauh lebih kurang (memberansangkan) tapi kami akan pastikan ia tetap dianjurkan," katanya.

Emir turut menjelaskan pembatalan dua perlumbaan itu turut memberikan manfaat yang tersendiri kepada penganjuran LTdL 2017.

Ini kerana beberapa pasukan yang dijadualkan mengambil bahagian dalam saingan berkenaan kini berpeluang untuk menyertai LTdL 2017 dengan empat pasukan bertaraf benua profesional menjadi sasaran utama.

"Kami sedang fokus mengadakan rundingan dengan pasukan bertaraf jelajah profesional kerana pembatalan Jelajah Qatar mungkin akan memberi kesan.

"Kemudian, kami akan membuka kuota terhad kepada pasukan-pasukan bertaraf jelajah benua."