Skuad memanah negara menerima tamparan hebat menjelang kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, Jun depan, apabila trio wanita yang diketuai Nur Aliya Ghapar tidak disambung kontrak dalam program kebangsaan sekali gus terpaksa meninggalkan Bukit Jalil.

Atlet senior yang turut terdiri daripada Nur Afisa Abd Halil dan Loke Shin Hui itu digugurkan selepas aksi kurang meyakinkan sepanjang tahun lalu termasuk kegagalan meraih sebarang pingat dalam Sukan SEA Filipina 2019.

Lantaran itu, mereka tidak akan menyertai Kejohanan Siri Piala Dunia di Jerman, Jun depan, sekali gus menutup peluang mereka untuk layak ke temasya Tokyo 2020.

Bagaimanapun, cabaran itu akan diteruskan oleh pemanah lelaki negara seperti Khairul Anuar Mohamad, yang muncul sebagai pemanah tunggal negara yang telah menempah tiket ke Jepun setakat ini, dan atlet-atlet seperti Haziq Kamaruddin untuk perebutan slot acara berpasukan.

Skuad memanah akan berlepas ke Grand Prix (GP) Asia di Thailand minggu depan dan meskipun ia tidak menawarkan mata Sukan Olimpik, ia tetap penting sebagai persiapan ke kejohanan kelayakan.

"Kami agak sedih dengan pengguguran tiga pemanah wanita berkenaan tetapi itulah hakikatnya dalam sukan.

"Kami terpaksa akur dengan pihak pengurusan dan saya ucapkan selama maju buat mereka," kata Haziq kepada wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.