Pemanah negara kekal fokus hadapi Kejohanan Dunia

Oleh Penulis Jemputan 25 Oktober 2018 40
Pemanah negara kekal fokus hadapi Kejohanan Dunia

Sama ada Program Podium dibubar atau sebaliknya, barisan pemanah recurve lelaki negara tetap fokus membuat persiapan awal untuk memburu penampilan keempat berturut-turut ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Skuad memanah recurve lelaki negara giat berlatih untuk menghadapi Kejohanan Dunia di Hertogensboch, Belanda, pada Jun 2019.

Jurulatih, Lee Jae-hyung, telah mengingatkan ranking dunia tidak memainkan peranan menjamin ke temasya Tokyo 2020 meskipun trio Malaysia menduduki tangga ketujuh dunia.

Dalam Kejohanan Dunia nanti, hanya lapan terbaik akan layak secara automatik ke Sukan Olimpik manakala baki tiga slot lagi perlu direbut dalam satu lagi aksi kelayakan pada tahun 2020.

"Kami memberikan tumpuan untuk Kejohanan Dunia. Ia merupakan pentas untuk layak dalam acara berpasukan dan individu," kata pemanah negara, Khairul Anuar Mohamad.

"Walaupun kejohanan berlangsung pada Jun 2019, persiapan semakin singkat. Kami perlu mula giat berlatih dari sekarang," kata pemanah negara, Haziq Kamaruddin.

Skuad memanah negara tidak pernah terlepas daripada membuat penampilan dalam Sukan Olimpik sejak 2008 di Beijing lagi.

Pembubaran Program Podium Januari 2019 bakal memberi kesan buat persiapan barisan pemanah negara, terutama latihan intensif di luar negara.

Namun, mereka mengharapkan penstrukturan semula program itu kelak masih mampu untuk memberikan bantuan diperlukan dalam melayakkan diri ke Tokyo 2020.

"Terdapat perubahan yang akan berlaku tahun depan dengan Program Podium yang bakal dibubar pada Januari tahun depan. Tetapi kami memerlukan kejohanan luar negara bagi mendapatkan slot beraksi ke Tokyo 2020," ujar Haziq lagi.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen