Program pemain elit Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) kini dalam bahaya dan boleh berkubur jika sah tidak mendapat sebarang bantuan daripada Majlis Sukan Negara (MSN).

Kegagalan tenis disenaraikan dalam program utama MSN bagi kalendar 2018 membangkitkan kegusaran buat pemain senior.

Bagi sukan yang terpinggir daripada program itu, MSN lebih cenderung membantu mereka dalam program khusus kepada pelapis.

Mahu atau tidak, LTAM perlu mencari ikhtiar untuk penstrukturan semula program mereka bagi menghadapi saingan 2018.

"Untuk tahun ini, pencapaian kami adalah menerusi pingat gangsa Sukan SEA Kuala Lumpur dalam acara beregu wanita.

"Bagaimanapun, ketika ini nasib tenis belum lagi ditentukan MSN dan LTAM berharap tenis tidak ketinggalan dalam perancangan program 2018," ujar jurulatih negara, Adam Jaya.

Meskipun tidak bercadang untuk menggugurkan pemain, Adam menegaskan tiada lagi ruang buat mana-mana individu menganggap kem latihan negara sebagai program pelancongan.

"Kami masih mempunyai banyak kejohanan untuk diharungi. Mungkin kami terpaksa mengurangkan sedikit kuota atlet dan memilih pemain yang benar-benar bersemangat dan berusaha keras.

"Bantuan yang diterima seperti dari pihak penaja perlu digunakan secara berhemah," tambahnya.