Peluang Hafifi tipis -- Poh Eng

Oleh Penulis Jemputan 30 Oktober 2017 1
Peluang Hafifi tipis -- Poh Eng
Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) menasihatkan Mohd Hafifi Mansor agar membatalkan hasrat menuntut sampel B air kencingnya diuji di Sydney, Australia kerana peluang untuk mendapatkan keputusan negatif cukup tipis selain menelan kos yang tinggi.

Hafifi mempunyai tempoh sehingga 7 November ini untuk menuntut sampel B diuji selepas dikesan positif oxymetholone, sejenis ejen steroid ketika menyertai Terbuka Australia, Mac lalu.

Dia sedang mengumpul dana kerana kos untuk menyaksikan ujian itu sekitar RM9,000 seorang meliputi tiket penerbangan dan hotel penginapan.

PABM bimbang ia akan menjadi satu pembaziran kerana peluang untuk sampel B negatif cuma 0.01 peratus.

"Nasihat saya seperti yang saya perhatikan, sampel B tidak akan menjadi negatif. Jika mahu menguji sampel B, bagi pendapat peribadi saya, ia membazir masa dan waktu," kata Presiden PABM, Datuk Ong Poh Eng. 

Jika Hafifi didapati bersalah, dia akan berdepan penggantungan maksimum selama empat tahun.

Sementara itu, tiga atlet positif ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, termasuk penerjun negara, Wendy Ng Yan Yee, turut menjalani ujian sampel B di New Delhi, India dan keputusannya tetap sama.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen