Atlet karate di seluruh Sabah kini berpeluang untuk membuktikan kualiti mereka seterusnya berpeluang mewakili negara apabila Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) akan menjalankan sesi pemilihan di Kota Kinabalu, 5 Januari ini.

Setiausaha Agung Persatuan Karate Sabah (SKA), Julian Chin, berkata sesi pemilihan itu akan dikendalikan jurulatih kebangsaan yang baru dilantik, Sensei Ali Reza, yang akan diadakan di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu.

"Ali Reza yang baru dilantik sebagai jurulatih bukanlah nama asing dalam sukan karate negara, dia sebelum ini juga pernah menjadi jurulatih kebangsaan sebelum meninggalkan MAKAF beberapa tahun lalu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata sesi pemilihan itu akan bermula jam 8 pagi dan difahamkan pemilihan itu termasuk untuk kadet, junior dan juga senior.

"Bagi pihak SKA, saya menjemput semua cawangan kami, ahli serta kelab untuk menghantar atlet terbaik mereka dalam sesi pemilihan itu.

"Untuk rekod, pemilihan ini adalah untuk atlet berusia 14 tahun dan ke atas dan saya juga menasihatkan kepada mereka yang akan mencuba nasib dalam sesi pemilihan itu supaya melakukan persiapan awal, termasuk menyediakan kelengkapan sendiri," katanya.

Pemilihan itu bukan hanya terbuka kepada atlet Sabah tetapi juga atlet dari Sarawak dan Labuan.