Atlet pelayaran negara, Khairulnizam Afendy, berharap agar pihak yang berkaitan tidak menjadikan penjarakan sosial sebagai satu isu penghalang buat atlet yang sedang bergelut untuk persiapkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Dia yang akan membuat penampilan ketiganya dalam temasya itu berasa lega apabila nasib atlet yang berlatih di luar Bukit Jalil seperti dirinya turut diambil kira.

Sejak sekian lama, skuad pelayaran negara menjalani latihan yang berpusat di Jeti Kuah, Pulau Langkawi.

Berdasarkan satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini, satu permohonan membabitkan atlet di bawah Program Road to Tokyo (RTT) akan dikemukakan dalam mesyuarat khas menteri selepas sambutan Aidilfitri hujung bulan ini.

"Bagi acara laser standard, setakat ini tinggal saya seorang kerana yang lain sudah digugurkan daripada program.

"Jadi, kalau saya meminta bantuan sekalipun, secara keseluruhan ia hanya melibatkan tiga orang dalam sesi latihan," katanya.

Meskipun ia baru di peringkat perbincangan, soal penjarakkan yang disarankan kerajaan bukanlah satu isu memandangkan latihan skuad pelayaran tidak membabitkan jumlah individu yang ramai.

"Memang boleh sangat sebab acara saya secara individu dan tidak melibatkan orang lain.

"Jadi penjarakan sosial itu tidak menjadi satu masalah buat kami," tambahnya.