Pelayar negara, Khairulnizam Mohd Afendy, mengambil keputusan tepat untuk berlatih di Tenerife, Sepanyol menjelang Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan apabila tiupan angin di venue itu boleh mencecah 25 knot.

Keadaan itu tidak dapat dirasai di Pusat Pelayaran Kebangsaan di Langkawi, yang menjadi venue latihan pelayar negara sebelum ke Tokyo.

Lebih menarik, Khairulnizam berpeluang menyertai kejohanan di Tenerife yang bakal disertai beberapa pelayar terbaik dunia, termasuk yang akan menjadi pilihan merangkul pingat dalam acara laser standard di Tokyo.

"Semua berjalan dengan baik, latihan berjalan dengan baik dan cuaca di sini juga sangat baik, tidak terlalu sejuk," kata Khairulnizam kepada Astro Arena.

"Angin juga, seperti yang dijangkakan, kuat dan mempunyai ombak yang besar.

"Untuk minggu pertama ini, kami mencuba untuk menyesuaikan diri kerana sudah lama tidak berdepan angin kuat dan ombak besar.

"Selepas itu, kami akan memperbaiki daripada segi teknik dan kemudian, kami akan bersedia untuk satu kejohanan pada hujung bulan ini untuk melihat prestasi kami," katanya.