Kontinjen memanah Pelapis Kebangsaan ‘A’ membuktikan keunggulan apabila muncul juara keseluruhan Kejohanan Memanah Terbuka Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Gong Badak, kelmarin.

Pungutan lima pingat emas, dua perak dan dua gangsa membolehkan skuad muda negara itu memenangi wang tunai RM2,000 serta piala iringan.

Pingat emas Pelapis Kebangsaan ‘A’ disumbangkan Muhammad Zarif Syahir dalam acara recurve lelaki, Nur Husna Nadhirah menerusi acara recurve wanita serta acara recurve individu lelaki oleh Muhammad Norhairulnizam.

Gandingan Muhammad Zarif dan Nur Husna juga cemerlang menghadiahkan pingat emas keempat dalam acara recurve berpasukan campuran.

Satu lagi pingat emas diperolehi dalam acara recurve berpasukan lelaki menerusi Ahmad Afiq Akhiroman dan Muhammad Norhairulnizam.

Kejayaan itu begitupun belum cukup menggembirakan jurulatih, Wan Mohd Khalmizan Wan Abdul Aziz, yang tidak mahu berpuas hati dengan pencapaian semasa pemanah muda negara.

Rentak juara ditunjukkan pasukan Pelapis ‘A’ disifatkannya merosot berbanding Pelapis ‘B’ sepanjang lima hari kejohanan itu berlangsung.

Menurut Wan Mohd Khalmizan, beberapa aspek kelemahan perlu diperbaiki untuk meningkatkan keyakinan menjelang dua kejohanan yang akan datang.

“Pasukan ‘B’ mempamerkan peningkatan mendadak, malah mula mengecilkan jurang dengan pasukan pelapis ‘A’.

“Kemenangan ini diharapkan membakar semangat mereka yang akan bertanding dalam Kejohanan Memanah Remaja Kebangsaan di Bukit Jalil serta Kejohanan Bawah 17 Tahun di Johor Bahru,” ujarnya.

Gelaran naib juara keseluruhan disandang pasukan Excella yang terpaksa berpuas hati dengan empat pingat emas, tiga perak dan dua gangsa untuk membawa pulang hadiah RM1,000 serta piala.

Paling mencuri tumpuan di lapang sasar kampus UniSZA, kelmarin ialah bidikan emas Mohd Juwaidi Mazuki dalam acara compound lelaki serta Faten Nurfatehah Mat Salleh menerusi acara compound wanita individu dan keseluruhan.

Juwaidi, Lee Kin Lip dan Zulfadli Ruslan memberikan pingat emas keempat buat Excella menerusi acara compound berpasukan lelaki.

Kejohanan edisi kelima itu menyaksikan penyertaan 390 atlet dan pegawai, termasuk pemanah luar negara seperti Thailand, Indonesia, China, Filipina, Singapura dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).