Kejohanan Bola Sepak Piala Borneo Malaysia 2017 yang melabuhkan tirainya semalam, menyaksikan pasukan Pelajar Indonesia menjuarai kategori B-16.

Pasukan yang dibarisi pemain dari sekolah sukan Indonesia itu menewaskan Sekolah Sukan SMK Datuk Peter Mojuntin (DPM), Penampang 1-0 dalam final di Stadium Likas.

Ilham Mahfudzillah muncul wira Pelajar Indonesia apabila menanduk masuk hantaran lintang Satria Arya pada minit ke-35, sekali gus mengesahkan kejuaraan.

Kemenangan itu juga mengulangi keputusan pertemuan kedua-dua pasukan pada saingan peringkat kumpulan yang juga berpihak kepada Pelajar Indonesia.

Sebelum itu, kategori membabitkan lapan pasukan tersebut menyaksikan sebuah lagi pasukan dari Indonesia, Persita Tangerang, menduduki tempat ketiga selepas menundukkan Murdoch University Melville FC Australia 2-0 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.

Penentuan tempat kelima pula menyaksikan Jubilo FC Malaysia mengalahkan TABS Kota Kinabalu 2-0 manakala Sulamanhill FC Malaysia mengalahkan Pusat Latihan Daerah Kota Kinabalu menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan penentuan tempat ketujuh.

Gelaran juara Pelajar Indonesia itu adalah yang kedua buat pasukan dari Indonesia selepas pasukan Sekolah Sepak Bola Anak Indonesia (SBAI) turut merangkul gelaran juara kategori B-14, sebelum ini.

Kejohanan tahunan anjuran Borneo Sports And Adventure Holidays yang diterajui bekas penyerang import berbisa Sabah, Scott Ollerenshaw, dan diiktiraf Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) itu mempertandingkan kategori 11, 12, 13, 14, 15 dan 16 tahun ke bawah.

Kejohanan yang telah berlangsung sejak 24 September itu turut menyaksikan wakil dari Malaysia merangkul dua gelaran juara menerusi pasukan TABS Kota Kinabalu dalam kategori B-12 dan DPM dalam kategori B-15.

Penyandang gelaran juara lain adalah Dreaming Football United Filipina dalam kategori B-11 dan Turf City Singapura dalam kategori B-13.