Skuad bola jaring Zon Pedalaman terlalu sukar untuk digugat mana-mana pasukan apabila muncul juara bagi tahun ke-10 berturut-turut dalam Pesta Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan Sabah (PSKPPS) di Papar, baru-baru ini.

Sekalipun acara bola jaring dipecahkan kepada dua kategori tahun ini, iaitu Senior (40 tahun ke bawah) dan Veteran (40 tahun ke atas), ia tidak menghalang Pedalaman untuk meneruskan dominasi mereka apabila dinobatkan sebagai juara bagi kedua-dua kategori itu.

Dalam final kategori Senior, Pedalaman bangkit daripada ketinggalan sebelum berjaya menewaskan Sandakan 30-23 dalam satu perlawanan yang sengit.

Pedalaman ketinggalan 13-15 kepada Sandakan pada separuh masa pertama manakala babak kedua pula menyaksikan satu pertarungan menarik apabila skuad Pedalaman berjaya merapatkan jurang sehinggalah mereka menjadikan kedudukan 23-23 ketika perlawanan hanya berbaki lima minit.

Pasukan yang dikendalikan Halleinah Tuanggaak itu kemudian tidak menoleh ke belakang lagi apabila terus menghasilkan jaringan sehinggalah mereka mengesahkan kemenangan dramatik 30-23.

Pengurus Pedalaman, Farehan Fauzi, ketika dihubungi berkata semangat juang tinggi yang ditunjukkan pemainnya adalah faktor utama kejuaraan milik mereka pada tahun ini.

Pasukan Zon Pedalaman dibarisi Juvita Soumin, Frederica Clarice Justine, Carol Lenny Donggulu, Emma Nadia John, Effymieaevi Kosai, Sandy Chung, Nor Erni Yusnita Mohd Nazal, Jubinah Akim, Roslianna Bily@Sylvester, Juvie June Junaidi, Agnes Junchiu dan Felicia Justine.

Sementara itu, bagi kategori Veteran yang diadakan secara liga pusingan, skuad Pedalaman tidak menghadapi masalah untuk muncul juara apabila memenangi kesemua perlawanan mereka.

Pasukan yang dibarisi Raffidah Daupin, Halleinah Tuanggaak, Catherine Kindasan, Lim Fui Chee, Justina Sipat, Gloria Mojuga, Helena Sangau, Fenny Jubilek, Rahimah Usman dan Alice Benedict itu mengharungi kejohanan dengan menewaskan Zon Barat 10-7, Zon Selatan 12-5, Zon Sandakan 22-8 dan Zon Utara 18-3.

Sebanyak 19 acara dipertandingkan sempena PSKPPS, tahun ini, dengan acara penutup berlangsung di Kompleks Sukan Beaufort, hari ini.