Persatuan Bola Keranjang Perak (PBA) memohon maaf terhadap kejadian bendera negeri ditampal terbalik pada jersi pasukan B-15 Perak dalam Kejohanan Kebangsaan Bawah 15 tahun(B-15) di MABA, Kuala Lumpur.

Permohonan maaf itu dikemukakan melalui surat oleh setiausahanya, Tan Tiang Seng, kepada Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Howard Lee Chuan How, petang tadi.

Dalam suratnya, Tiang Seng berkata pihak Pengurusan Persatuan Bola Keranjang Perak segera membuat siasatan dengan menghubungi Pengurus dan Jurulatih pasukan yang berada di Kuala Lumpur setelah gambar jersi bola keranjang berkaitan tersebar di sosial media,

Katanya, daripada 24 helai jersi yang dicetak, terdapat satu(1) helai sahaja yang didapati bendera Negeri Perak dicetak terbalik, hasil kesilapan yang tidak disengajakan oleh pembekal.

Justeru itu, PBA memohon maaf atas kesilapan tersebut dan berjanji untuk tidak mengulang kesilapan tersebut.

"Kami juga berjanji akan berhati-hati dan lebih teliti terhadap semua lambang dan bendera rasmi negeri pada masa-masa akan datang," katanya.