Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) memberi jaminan akan menyelesaikan kes rayuan hukuman doping membabitkan Sazali Samad selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Sazali sebelum ini menghantar rayuan kali kedua kepada PBBM dalam usaha untuk mengurangkan hukuman penggantungan empat tahun ekoran positif steroid.

Andai dia gagal dalam rayuan ini, Sazali merancang untuk membawa kes itu ke Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS).

Menurut Setiausaha Kehormat PBBM, Kamaruzaman Kadir, Jawatankuasa Rayuan PBBM akan membuat keputusan sebelum berakhirnya tahun 2016 kerana tidak mahu isu ini berpanjangan.

Malah, PBBM ingin memastikan 2017 membuka lembaran baharu buat sukan bina badan supaya tidak terus dibelenggu isu doping.

"Saya akan cuba adakan mesyuarat sebelum hujung tahun ini. Minggu depan kami akan mendapat tarikh untuk melangsungkan mesyuarat itu.

"Kalau boleh kami mahu isu ini diselesaikan, jika tidak kami akan duduk berbincang mengenai rayuan tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Kamaruzaman menjelaskan PBBM tetap mempunyai perancangan rapi untuk tahun 2017 meskipun acara itu tidak dipertandingkan dalam Sukan SEA 2017.

Ini kerana masih ada dua pertandingan utama yang perlu diberi keutamaan, iaitu Kejohanan Asia dan juga Kejohanan Dunia di mana wakil negara, Syarul Azman Mahen Abdullah, akan turun mempertahankan gelaran.

"Mereka buat tugas mereka dan kami laksanakan tugas kami, insya-Allah kejayaan akan berjaya diraih.

"Saya berharap tahun hadapan pencapaian kami adalah lebih baik berbanding 2016," tambahnya.