Pasangan dari Perak, Ahmad Zikry Sazeli dan Megat Nasim, serta dua beranak dari Labuan, Dayang Lapuan Omar dan Fatin Aqila Omar, mengungguli Kejohanan Boling Padang Terbuka Sabah, apabila masing-masing menjuarai kategori pasangan lelaki dan wanita, baru-baru ini.

Kejohanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Likas itu turut menyaksikan pasangan bapa dan anak dari pasukan Sabah Solid, Mohd Affendy Tan dan Muhd Hafiz Firdaus Tan, muncul pemenang tempat kedua kategori pasangan lelaki manakala Nur Dayana Yasmine Mafizul dan Nabika Dayani Mahd Zaidi, dari Perak muncul naib juara kategori pasanganwanita.

Sementara itu, dua pasangan dari pasukan BS Tiger dan BS Muda, Lawrence Eging dan Abd Rahman Yacob, serta Darus Nasir dan Mumin Pilu, berkongsi sebagai pemenang tempat ketiga kategori pasangan lelaki, manakala tempat ketiga pasangan wanita pula dikongsi pasangan AJ Bowler, Amelia John Yagut dan Jenny Hassan, serta pasangan Nurin Jazline Rosland dan Nur Zur'Ain Md Zaidi, dari USPTN 'A' Labuan.

Hadiah bagi juara kategori pasangan lelaki ialah wang tunai sebanyak RM2,500 dan trofi, manakala naib juara membawa pulang wang tunai RM1,300 dan trofi. Sementara itu, pemenang tempat ketiga pula masing-masing menerima wang tunai RM800 serta trofi.

Dalam pada itu, juara kategori pasangan wanita pula menerima hadiah wang tunai RM1,200 dan trofi, manakala naib johan memenangi wang tunai RM750 dan trofi, sementara dua pasangan yang berkongsi tempat ketiga masing-masing membawa pulang wang tunai RM450 serta trofi.

Terdahulu, majlis penutupan dan penyampaian hadiah kejohanan berkenaan disempurnakan Presiden Persatuan Boling Padang Negeri Sabah, Ladislaus Maluda, dengan turut dihadiri oleh timbalannya, Shuib Hashim, yang juga pengarah pertandingan.