Skuad berbasikal para negara menghadapi musim baru dengan perkhabaran positif selepas mengesahkan satu slot ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Selepas mempamerkan persembahan cemerlang sepanjang tahun ini, khususnya dalam temasya Para Asia di Indonesia, Oktober lalu, keyakinan lebih tinggi diraih pelumba negara bagi musim 2019.

Secara tidak langsung, ia juga melonjakkan kedudukan Malaysia dalam ranking benua Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dengan berada di tempat kedua di belakang China, sekali gus menyaksikan Malaysia sah mendapat salah satu daripada enam slot yang ditawarkan bagi Paralimpik Tokyo untuk kategori lelaki.

Bagi kategori wanita, Malaysia terlepas slot selepas hanya menduduki tempat keempat benua Asia di belakang China, Korea Selatan dan Jepun.

"Kami bergantung kepada keperluan skuad berbasikal para berdasarkan kategori masing-masing. Ia sebagai pengkhususan dalam usaha mendapatkan mata bagi meraih slot Olimpik dan kami perlu fokus kepada catatan mata terpenting bagi mendapatkan slot tambahan," kata jurulatih basikal para negara, Sallehuddin Mohd Noh.

Skuad berbasikal para negara akan memulakan kempen 2019 dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2019 di Jakarta, Indonesia pertengahan Januari nanti.

Seramai 15 pelumba akan membawa cabaran negara dengan misi sudah pasti mengekalkan momentum di samping menambah kutipan mata ranking bagi slot tambahan ke Paralimpik Tokyo.

"Untuk ACC kami menyasarkan kutipan mata seberapa banyak yang boleh sehingga akhir tahun sehingga 2019. Kami lihat tuan rumah juga bersedia untuk menghadapi saingan ACC. Diharapkan kami mengutip mata terbanyak," tambahnya.