Sasaran awal untuk memecahkan rekod kejohanan menyaksikan atlet powerlifting Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Syed Omar Syed Hashim, merangkul pingat emas kategori tidak melebihi 49 kilogram lelaki dalam Para Sukma 2018 Perak, hari ini.

Ini merupakan penyertaan kedua Syed Omar di pentas Para Sukma selepas edisi 2016 di Sarawak.

Angkatan seberat 86kg dalam percubaan pertama menjadikannya pilihan awal untuk menamatkan saingan dalam kedudukan pingat.

Namun, dia menerima tentangan hebat atlet Kedah, Sanusi Johari, serta Ahmad Shahmim Mohd Kadri dan Francis Xavier Kinjin, masing-masing dari Kelantan serta Sabah.

Sanusi kemudian melepasi beban 91kg dalam percubaan kedua dan catatan itu berjaya disaingi oleh Syed Omar.

Kedua-dua atlet itu memburu untuk memecahkan rekod kejohanan 95kg yang dilakukan Sanusi dalam edisi dua tahun lalu.

Catatan itu terlalu tinggi buat Sanusi apabila gagal dalam percubaannya manakala Syed Omar mengekalkan ketenangan untuk melepasi angkatan 97kg, sekali gus meraih emas buat bekas atlet boling padang itu.

Sanusi terpaksa berpuas hati dengan perak sementara Ahmad Shahmim melengkapkan kedudukan podium dengan angkatan seberat 81kg.

"Memang sasaran saya ingin memecahkan rekod. Saingan sengit kerana atlet di tempat kedua memegang rekod kejohanan.

"Boling padang seronok tetapi latihannya sukar untuk saya sertai. Saya memang minat angkat berat," katanya lagi.