Para Sukma: Selangor raih emas pertama

Oleh Azizan Hashim 24 November 2018 95
Para Sukma: Selangor raih emas pertama
Selangor muncul negeri pertama meraih pingat emas dalam saingan Para Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 yang berlangsung di Ipoh.

Kejayaan itu diperoleh melalui acara boling tenpin di Ampang Superbowl, Ipoh Parade. 

Rosheedy Faizal Roslan mencatat 1,108 jatuhan  pin untuk menjuarai acara perseorangan lelaki B8 yang disertai seramai 25 peserta.

Dia yang mendahului sepanjang permainan enam pusingan itu mengatasi peserta Melaka, Zahidi Lamsah, yang menjatuhkan 996 pin dengan perbezaan 112 pin.

Tempat ketiga milik Julaihi Kalik Lamat (Sarawak) dengan 958 jatuhan pin.

Sementara itu, Siti Hajar Hassan dari Kuala Lumpur menyumbang emas pertama kategori wanita dalam acara perseorangan wanita B2.

Pemain itu melakukan 804 jatuhan pin untuk mengatasi pemenang pingat perak, Zalina Hassan (Pulau Pinang) dengan 43 pin.

Pingat gangsa milik peserta tuan rumah, Nur Syamina Aishah Azmi dengan 719 pin.

Sarawak mengutip pingat emas pertama melalui Roni Tugiman dalam acara perseorangan lelaki B2 mengatasi Choo Kam Chan (Kuala Lumpur) dan Mohd Amir Ariffin (Selangor) masing-masing dengan 100 dan 106 pin. 
 

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen