Para Sukma: Selangor, Johor ungguli acara boccia

Oleh Azizan Hashim 27 November 2018 93
Para Sukma: Selangor, Johor ungguli acara boccia
Selangor dan Johor menguasai acara boccia Para Sukma Perak 2018 yang menutup tirai kejohanan malam tadi.

Selangor meraih tiga pingat emas, Johor membawa pulang dua emas manakala Kuala Lumpur serta Pulau Pinang masing-masing satu emas.

Dalam pertandingan yang diadakan di Dewan Gimnasium Jabatan Belia dan Sukan, Chew Wei Lun mengutip emas pertama buat Johor dalam acara perseorangan kategori BC 1.

Atlet kebangsaan itu menewaskan rakan sepasukan dari Selangor, Mohamed Shahrul Rafiq Maula Mustafa, 7-1 dalam final. 

Impian Johor mengutip emas kedua tidak kesampaian apabila disekat Kuala Lumpur melalui Lee Chee Hoong yang mengatasi Mohd Syafiq Mohd Noh 4-3 dalam kategori perseorangan BC 2. 

Selangor meraih dua emas berturut-turut apabila Mohd Yusuuf menumpaskan Anderson Lai Mun Kee dari Kuala Lumpur 5-0 bagi acara perseorangan kategori BC 3. 

Aminoor Farid Najuddin memberi emas kedua Selangor dengan kemenangan 5-3 ke atas Noraskuzaimey Mat Salim (Kuala Lumpur) dalam kategori perseorangan BC 4. 

Johor meraih pingat emas kedua apabila Wei Lun yang bergandingan dengan  Mohd Syafiq dan Iman Haikal menumpaskan Selangor 8-1 dalam acara berpasukan kategori BC 1 dan BC 2 sebelum Pulau Pinang mengecewakan Selangor dalam kategori beregu BC 3.

Bagaimanapun, Selangor menebus kehampaan mereka apabila meraih emas dalam acara beregu kategori BC 4 setelah menumpaskan Kuala Lumpur. 

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen