Para Sukma: Sarawak sedia pertahan kejuaraan

Oleh Penulis Jemputan 22 November 2018 37
Para Sukma: Sarawak sedia pertahan kejuaraan
Kontinjen Sarawak sedia mempertahankan gelaran juara keseluruhan Para Sukma Perak 2018 berdasarkan persiapan rapi yang dilakukan sejak enam bulan lalu.

Dua tahun lalu sebagai tuan rumah, Sarawak membuktikan kemampuan dengan meraih gelaran juara keseluruhan menerusi 84 pingat emas, 63 perak serta 73 gangsa dalam sembilan jenis sukan yang dipertandingkan.

Dalam temasya kali ini, mereka tampil dengan kontinjen terbesar merangkumi 184 atlet dan 112 pegawai dengan misi utama mempertahankan gelaran menerusi sasaran 77 emas.

Sandaran utama tertumpu kepada acara olahraga dan renang dengan beberapa atlet para negara bakal memperkuatkan cabaran Sarawak.

Pengurus kontinjen Sarawak, Matthew Chin, menjelaskan persiapan menyeluruh telah dilakukan sejak enam bulan lalu dan yakin setiap atlet bersedia untuk membawa pulang pingat dalam acara masing-masing.

"Sebagai pengurus pasukan, saya dimaklumkan bahawa setiap pasukan kami akan membutirkan pingat.

"Kami akan bertanding dengan menyasarkan 77 pingat emas.

"Berdasarkan sejarah terdahulu, jumlah itu sudah cukup untuk memutlakkan kejuaraan buat kami," katanya.

Dalam pada itu, Matthew mempertahankan tindakan kontinjen Bumi Kenyalang itu yang tidak mahu menetap di perkampungan rasmi temasya di Politeknik Ungku Omar, Ipoh.

Sebaliknya, mereka mengambil keputusan untuk tinggal di salah sebuah hotel di Ipoh bagi memudahkan pergerakan disebabkan jumlah atlet yang besar.

"Jika mampu, mengapa tidak untuk memberikan keselesaan buat atlet.

"Kami tidak mahu berdepan sebarang masalah di perkampungan sukan, jadi kami membuat keputusan untuk tinggal di hotel," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen