Sarawak berada di landasan tepat untuk mengekalkan kejuaraan kali ke-13 dalam Para Sukma Perak 2018 yang akan melabuhkan tirainya malam ini.

Ini kerana pasukan Bumi Kenyalang itu sedang selesa mendahului temasya dwi-tahunan edisi ke-19 yang disertai 15 pasukan itu.

Dengan kutipan sebanyak 48 pingat emas, 45 perak dan 29 gangsa, Sarawak nyata sukar untuk dipintas oleh pencabar lain menjelang upacara penutup oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, di Stadium Tertutup Indera Mulia, Ipoh, jam 8 malam ini.

Pencabar terdekat, Sabah, jauh ketinggalan dengan 32 emas, 24 perak dan 25 gangsa.

Sementara itu, tuan rumah, Perak, sudah melepasi sasaran di tempat ketiga dengan 26 emas 36 perak dan 21 gangsa.

Johor di tempat keempat dengan 22 emas, 24 perak dan 32 gangsa.

Pada hari terakhir temasya, Sabah, Perak serta Johor pula perlu merebut baki 55 pingat emas dalam usaha memintas kedudukan Sarawak.

Namun, sukar membayangkan Sarawak tidak berupaya mengutip sebarang pingat emas tambahan daripada acara catur, olahraga, renang, boling padang dan boling tenpin hari ini.