Atlet boling para Selangor, Rosheedey Faizal Roslan, berada dalam kelas tersendiri untuk meraih pingat emas pertama temasya dalam kategori individu B8 lelaki dalam Para Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak.

Kecederaan tulang belakang yang dialami pada 2010 menyaksikan Rosheedey lumpuh separuh badan dan perlu menggunakan kerusi roda.

Namun, ia tidak menghalang atlet berusia 32 tahun itu untuk membuktikan kemampuan dalam acara boling.

Ini merupakan kali kedua dia mewakili Selangor dalam saingan Para Sukma dan terus menampilkan aksi terbaiknya untuk meraih emas acara individu B8 hari ini.

Mata tertinggi 211 dalam permainan kedua menyaksikan Rosheedey unggul dengan 1,108 untuk kedudukan pertama tatkala pingat perak menjadi milik atlet Melaka, Zahidi Lamsah, dengan catatan 996 jatuhan pin manakala Julaihi Khalik Lamat dari Sarawak meraih gangsa.

"Alhamdulillah, ini adalah hari terbaik buat saya apabila dapat kekalkan kutipan 150 ke atas. Mungkin selepas ini, saya akan lakukan lebih baik. Emas ini adalah untuk ibu saya di rumah," kata Rosheedey.

Rosheedey akan menyertai satu lagi acara, iaitu beregu, esok dan bertekad untuk terus mengekalkan rentak.

Dia menjelaskan berlatih bersama dengan atlet para negara sewaktu menjalani persiapan ke Sukan Para Asia Jakarta tempoh hari banyak membantu meningkatkan prestasinya.

Malah, dia juga mempunyai misi tersendiri untuk cuba memburu tempat bagi mewakili Malaysia ke Sukan Para Asean di Filipina pada hujung 2019.

"Kalau sebelum ini, saya beraksi dengan pemain kebangsaan dan berlatih bersama mereka, selepas mereka ke Sukan Asia, saya mula berlatih bersama skuad Selangor.

"Jika diizinkan dan diberi peluang mewakili Malaysia, saya akan buktikan kemampuan saya di Manila nanti."