Para Sukma: Puteri gegar Pusat Akuatik Tuanku Zara

Oleh Azizan Hashim 27 November 2018 79
Para Sukma: Puteri gegar Pusat Akuatik Tuanku Zara
Puteri Nur Diyana Megat Mohd Fadzli membuktikan kehebatannya dalam acara renang Para Sukma Perak 2018, hari ini.

Perenang Kedah itu bukan sahaja meraih tiga pingat emas peribadi tetapi mencatat rekod baru dalam ketiga-tiga acara yang dimenanginya.

Pencapaian Puteri Nur Diyana itu adalah antara lapan rekod baru yang dicipta di Pusat Akuatik Tuanku Zara, Ipoh, dalam saingan yang memasuki hari kedua.

Dia memulakan hari cemerlangnya dengan mencantas catatan lama acara 200 meter gaya bebas  S14 dengan kelebihan 0.26 saat apabila melakukan kepantasan 3 minit 19.08 saat berbanding rekod 3:45.18 pada 2016.

Atlet itu kemudian mengulangi kejayaannya dengan memecahkan rekod lama acara 100m kuak dada dengan catatan 1:43.84s berbanding 2:12.64s, dua tahun lalu.

Pingat emas peribadi ketiga Puteri Nur Diyana ialah menerusi acara 100m kuak lentang, juga dengan rekod baru 1:46.29s, mengatasi catatan lama 2:01.85s dalam Para Sukma Sarawak 2016.

Turut cemerlang ialah perenang Selangor dan Pulau Pinang yang masing-masing memecahkan dua rekod baru.

Atlet Selangor, Zadrian Chan Zhi Weng, memecah rekod acara 200m gaya bebas lelaki S14 manakala Kelvin On Kai Bin dalam acara 100m kuak dada lelaki SB6.

Atlet dari Pulau Pinang, Chung Wei Yoong dan Mohd Zulkifli Mazen, pula mencipta rekod baru acara 100m kuak dada SB14 dan SB5-SB4.

Perenang Negeri Sembilan, Anas Zul Amirul Sidi, turut mencipta rekod baru acara 100m kuak lentang lelaki S14. 

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen